Wednesday 19 September 2012

Konsep Pemulihan



            Pemulihan adalah satu program khas berbentuk tambahan bagi menyempurnakan keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran supaya ketidakupayaan yang menghalangnya berfungsi secara normal seperti murid yang sebaya dengannya dapat diatasi. Pemulihan meliputi langkah-langkah khas untuk membantu murid-murid menghadapi masalah pembelajaran di sekolah. Aktiviti pemulihan selalunya dijalankan  dalam tempoh jangka masa yang pendek dan ditujukan khusus untuk mengatasi kelemahan mereka. Individu yang memerlukan pemulihan ialah murid yang dikatakan kurang bernasib baik dan menghadapi masalah pembelajaran iaitu murid yang memperlihatkan pencapaian yang tidak memuaskan .
            Pengayaan pula adalah aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan sama ada dalam atau luar waktu sekolah. Pengayaan meliputi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang telah dipelajari. Melalui aktiviti-aktiviti ini murid dapat mengembangkan potensi mereka sesuai dengan bakat, minat dan kreativiti.
             Selain  itu pengayaan juga dapat memupuk sifat ingin tahu,   sikap berdikari,  kepimpinan serta melibatkan diri dalam  membuat  sesuatu keputusan untuk diri sendiri, kumpulan dan masyarakat.  Sebagai guru anda perlu mengambil kira beberapa perkara semasa merancang aktiviti   pengayaan .Antaranya adalah seperti berikut: Menggunakan daya usaha sendiri  Membuat kerja sendiri dan hasilan sendiri Memberikan penekanan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental. Mengunakan kaedah dan organisasi yang mudah ubah Melibatkan pembacaan luas dan Memberikan peluang bagi mengembangkan sifat kepimpinan sosial
            Menyentuh tentang konsep pemulihan. Konsep ini telah dibentuk dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi membantu murid yang mengalami masalah dalam kemahiran asas 3M. Pendidikan pemulihan adalah lebih terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid yang lambat, iaitu mereka yang lembab mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak yang lain.

             Pencapaian pembelajaran murid-murid ini biasanya di bawah tahap pencapaian yang sepatutnya (Koh Boh Boon, 1982).  Rasionalnya pendidikan pemulihan pula adalah amat penting kerana melalui pendidikan pemulihan murid-murid yang lemah dapat diasuh dan diberikan tumpuan yang lebih berbanding murid lain. Hal ini berlaku kerana murid adalah berbeza dari segi pengalaman, minat dan juga kebolehan. Oleh itu murid yang lemah atau menghadapi masalah tertentu perlulah diberi perhatian dan bimbingan. Objektif pendidikan pemulihan diadakan adalah untuk membolehkan murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti-aktiviti alternatif yang sesuai dengan murid.
            Selain itu pendidikan pemulihan ini juga membolehkan murid-murid mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental mereka di samping membolehkan murid mengurangkan masalah yang dihadapi melalui bantuan guru-guru dan juga pihak lain. Murid juga turut diberikan peluang untuk mencuba mengembangkan potensi diri mereka dalam pelajaran dan minat mereka untuk mencuba ke tahap yang lebih maju serta sama-sama melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti sosial sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
            Antara faktor yang membawa kepada masalah pembelajaran ialah apabila wujudnya perasaan tidak yakin, rendah diri dan takut dalam kalangan murid. Selain itu masalah pembelajaran juga berlaku akibat daripada sikap negatif yang ada dalam diri murid tersebut sendiri seperti tidak mahu mengikut kata, tingkah laku yang kurang baik serta disiplin diri yang rendah. Faktor kecacatan sejak lahir dan selepas lahir juga turut menyumbang kepada masalah pembelajaran. Murid yang mengalami kecacatan ini akan ditempatkan di sekolah khas yang bersesuaian dengan keadaan mereka.
            Aktiviti pemulihan boleh dilakukan melalui lima kaedah iaitu pengajaran individu, pengajaran kumpulan kecil, pengajaran kumpulan besar, pengajran bimbingan rakan sebaya dan juga pengajaran kolaboratif. Bagi pengajaran individu guru akan membimbing murid bagi mengatasi masalah yang dihadapi dengan alat bantuan yang sesuai manakala bagi pengajaran kumpulan kecil pula guru akan membimbing murid yang berada dalam kelompok kumpulan yang sama dan mempunyai masalah yang sama tetapi mendapat perhatian secara individu dari guru. 

            Berapa langkah khas harus diambil kira ketika menjalankan langkah-langkah pemulihan bagi memastikan objektif aktiviti pemulihan tercapai seperti membuat perancangan dan memilih teknik pengajaran yang sesuai, menentukan masalah yang sama tidak berulang, mengikuti kemajuan murid dengan menggunakan senarai semak dan juga membuat penentuan aktiviti pengukuhan yang sesuai dan secocok bagi menyelesaikan masalah. Setelah selesai proses pemulihan sebagaimana yang telah dijadualkan satu penilaian harus dilakukan bagi menguji tahap penguasaan murid. Penilaian ini bertujuan bagi memastikan sama ada objektif pengajaran pemulihan terlah tercapai atau tidak dan tindakan susulan akan diambil ke atas murid.
            Menyentuh konsep yang terakhir ialah aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana atau murid-murid pintar cerdas. Konsep ini mengambil kira bahawa murid-murid yang pintar cerdas adalah cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka. Konsep ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah. Pada kebiasaannya aktiviti pengayaan dijalankan ke atas kumpulan murid yang telah mencapai tahap yang memuaskan atau telah menguasai kemahiran asas.
            Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari oleh murid. Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang kepada murid untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan juga masyarakat.
            Objektif bagi aktiviti pengayaan adalah untuk membolehkan murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereja disamping menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka. Selain itu aktiviti ini juga dapat membuatkan murid berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta meelahirkan daya kreativiti menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri.
            Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah. Tinjauan itu berterusan hingga tahun 1970.
Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.
            Selain itu, pada tahun 1972 hingga 1981, KPM melaksanakan Projek Pendidikan Imbuhan untuk 12 buah sekolah rendah. Projek itu bertujuan mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran pemulihan murid-murid tahun satu hingga tahun tiga.
Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran memperakukan supaya sekolah mengadakan ujian rujukan kriteria. Dengan berdasarkan dapatan ujian itu, pihak sekolah perlu melakukan tindakan penambahbaikan. Tindakan itu termasuklah penggunaan kaedah dan sumber pengajaran yang sesuai dalam kelas yang lebih kecil.
            KPM pula perlu menyediakan guru yang mampu mengendalikan pengajaran pemulihan.Mulai tahun 1980, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan perakuan yang berkenaan. KBSR mengetengahkan konsep 5P, iaitu penggabungjalinan, penyerapan, penilaian berterusan, pemulihan dan pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pemulihan merupakan satu daripada unsur istimewa KBSR.
Mulai tahun 1986, KPM mengarahkan semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru khas pemulihan agar melaksanakan program pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan itu membayangkan bahawa pelaksanaan program sebelumnya adalah pada tahap yang tidak memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya menyediakan guru khas pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah rendah.

            Pada tahun 1987, hanya terdapat 4,331 orang guru khas pemulihan berbanding dengan 6,700 buah sekolah rendah yang memerlukannya. Daripada jumlah itu, kerajaan hanya mampu mewujudkan 2,233 jawatan guru khas pemulihan.
Pada tahun 1997, KPM mengeluarkan dapatan tinjauan kadar celik huruf selepas enam bulan murid berada dalam tahun satu. Tinjauan itu menunjukkan hampir 75,000 orang murid belum celik huruf. Jumlah ini bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid. Satu sumber lain (KPM, 1999) menyatakan, antara sepuluh hingga lima belas peratus murid sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran. Mereka gagal menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira
            Mulai tahun 1998, program pemulihan menjadi agenda penting KPM. Antara tindakan KPM ialah melatih guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan pemulihan ringan dalam bilik darjah. Tindakan lain ialah menambah guru pemulihan khas (GPK) yang mampu mengendalikan pemulihan berat.Selain itu, pada bulan November 1998, KPM memulakan usaha untuk menghasilkan buku panduan bagi melaksanakan program pemulihan khas. Buku itu terbit pada tahun 1999. Buku itu menjadi sumber penting  GPK dan guru Bahasa Melayu. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ada mencatatkan bahawa pada tahun 2005 sebanyak 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai 3M.
             Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Jadi, mulai tahun 2006 KPM menambah baik program yang sedia ada dan melaksanakan program baharu bagi mengurangkan peratusan murid yang tidak menguasai 3M.Program terpenting ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program ini bertujuan untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu.
Usaha lain ialah menambah guru pemulihan khas melalui program Kursus Perguruan Lepas Ijazah, Kursus Dalam Perkhidmatan untuk guru sekolah kurang murid dan beberapa kursus jangka pendek yang lain.

            Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Data yang di bawah pula menunjukkan pencapaian KIA2M tidaklah membanggakan.*

Jadi, bermula pada tahun 2010 Program Literacy and Numeracy Screening (LINUS) menggantikan Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M). LINUS berkaitan pula dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Minister Key Performance Indicators (MPKI) Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.






Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan Yang ke-55 Tahun


Majlis Pembukaan Sambutan Bulan Kemerdekaan Yang Ke-55 Tahun

Friday 31 August 2012